Kata Editor:
BELAJAR DENGAN CERMIN!
CERMIN tidak pernah menipu. Apa yang dipamerkan adalah gambaran sebenar. Jika yang di depan itu bulat, maka bulatlah yang diimbaskan. Andai senyum semanis gula, itulah juga yang jelas terlihat. Cermin jarang berbohong, melainkan cermin itu memiliki ciri istimewa. Cermin berfilter atau memiliki sakti.
Kita sering menjadikan cermin sebagai teman setia. Untuk ke mana-manapun, kita merujuk cermin sebagai penyudah terakhir penampilan diri. Dari dalam cermin kita melihat apa yang terlebih, apa yang terkurang. Cermin adalah saksi bagaimana kita memperelokkan apa yang kurang berkenan. Memperindahkan apa yang dirasakan kurang anggun.
Cermin juga ada di mana-mana. Daripada sekecil-kecil cermin yang disimpan dalam beg, sehinggalah setinggi bangunan, cermin antara barang wajib. Sehinggakan di tandas awam atau hotel, cermin diletakkan sebagai perhiasan wajib pelengkap penampilan seseorang selepas ‘membuang’ apa yang perlu.
Maka kerana itulah kita berkawan dengan cermin untuk sentiasa memperbaiki kelemahan diri. Cermin adalah sahabat baik yang bisu. Dia tidak pernah memberi kritikan ataupun pujian. Ia sekadar menjadi reflek kepada apa yang kita perlihatkan.
Instafamous Khairul Aming dalam satu ciapan di twitternya turut berkongsi pelbagai skill penting bagaimana seseorang itu mampu bertahan di dunia pandemik ini. Antara cadangan beliau adalah belajar cara bercakap depan camera dan praktis bercakap depan cermin.
Jika sebelum ini cermin dijadikan tempat untuk memperbetulkan apa yang terkurang. Maka fungsi cermin dan kamera di zaman media sosial ini harus dipelbagaikan. Terutamanya jika seseorang itu ingin terus kekal relevan dengan persekitaran yang lebih fokus kepada online.
Khairul Aming turut menegaskan inilah skil penting kerana segalanya kini bergantung kepada teknologi. Cikgu terpaksa mengajar guna webcam, orang jual bundle buat live steaming guna camera, fitness coach buat class pun guna webcam. Malahan untuk belajar mengajipun sekarang boleh dilakukan secara online.
Apabila kita sentiasa bercakap depan kamera dan cermin, kita akan mula membina keyakinan diri. Biar pada mulanya kita akan berasa gementar, gugup, malu dan kurang yakin. Namun apabila sudah terbiasa melakukannya, kita akan mula bersemangat dan terus memperbaiki apa yang terkurang. Jika ada respon yang kurang menyenangkan atau pujian, kita terima dengan fikiran terbuka.
Kemahiran bercakap depan kamera harus bermula dengan bercakap depan cermin. Daripada cermin kita boleh melihat sendiri bagaimana gaya dan emosi wajah kita dalam setiap lontaran kata. Selepas itu kita cuba merakam depan kamera untuk terus memperbaiki dan memperbetulkan apa yang terkurang. Langkah seterusnya membuat live streaming. Dan hasilnya tentu memberangsangkan dari masa ke semasa.
Saya sendiri membuat kelas grooming sebegini. Bukan sekadar fokus kepada fotografi model, tetapi saya kini fokus kepada pengembangan bakat mereka. Jika dulu mereka hanya perlu bergaya depan kamera, tetapi kini saya ‘paksa’ mereka untuk bercakap, menyanyi, berlakon, menari untuk membongkar sisi bakat lain mereka. Daripada semua ‘tugasan’ itu saya mengilap keyakinan mereka bagaimana menjadi seseorang yang glamour tetapi dalam waktu yang sama bakat mereka dikembangkan.
Bekerja di depan kamera dan belakang tabir ada bezanya. Saya sudah melalui keduanya. Justeru jika ingin terus relevan dengan suasana sekarang, paksa diri untuk ke depan kamera dan bercakaplah apa yang anda suka. Bongkar bakat terpendam anda. Jadikan cermin dan kamera teman sehati sejiwa selepas ini. Cermin dan kamera tidak akan mengecewakan. Anda akan dibawa pengalaman baru bagaimana menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Percayalah!
Anwar Razali Stailista Glamz 25.10.21