PROLOG
Sesungguhnya tiada siapa dalam dunia ini inginkan nasib malang. Tiada siapa juga rela mengharungi dunia berbeza arah. Andai diberi pilihan sekalipun, tentu kita akan memilih kesempurnaan dan kebahagiaan selaku santapan hidup.
Jika ada kecelakaan maupun kepayahan, ianya akan dianggap bukanlah sesuatu yang berpanjangan. Kita tetap juga pada akhirnya dilimpah Bahagia.
Namun dalam berimpian hidup sempurna, samada kita senangi atau tidak, ada diantara kita terpaksa melalui dunia hitam. Sebuah dunia yang dilalui demi kebetulan dan tidak disangka-sangka.
Mulanya sangkakan tiada yang memudaratkan. Tetapi setelah terlalu banyak ketelanjuran maka sesuatu yang pada mulanya biasa biasa sahaja telah bertukar menjadi luar biasa. Dan seterusnya tidak mampu berpatah lagi. Maka hiduplah dalam duka lara dunia yang keliru.
Tetapi sebagaimana syaitan dan nafsu lebih menguasai perasaan, keinsafan itu hanyalah wujud di hati. Ingin berubah tidak pernah kesampaian. Ingin melangkah pergi, kaki bagaikan tidak mahu berpaling lagi.
Demikianlah tentang Brian. Hidupnya penuh dengan liku yang kita tidak pernah fikirkan akan melaluinya. Tetapi itulah namanya kehidupan. Dan Brian telah menempuhnya. Biar bagaimana anggapan sesetengah daripada kita, Brian tidak pernah ambil peduli. Baginya orang boleh berkata apa sahaja. Sedangkan dia menanggung sengsara . pernahkan siapa yang memperdulikannya?
“Kalau fikirkan pandangan orang, sudah lama aku mati…” ujar Brian memulakan bicara.
Meskipun hanya dua kali berbual di talian telefon dan pertemuan pagi ini yang pertama, dia ternyata seorang yang peramah. Seperti mana sikapnya yang cepat mesra, saya melihat pertemuan pertama ini akan memudahkan untuk saya mendekati siapa Brian yang sebenar.
Seolahnya sudah lama kami saling mengenali. Dia lebih senang beraku engkau dengan saya. Agaknya lebih mesra ataupun sudah begitu sikapnya dengan sesiapapun. Terpulanglah. Biar apapun yang ingin digelarkan, saya anggap pertemuan saya dengan Brian merupakan sesuatu yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Kami bertemu di kediaman Brian di sebuah kawasan elit di Petaling Jaya. Teres dua tingkat lot tepi itu benar-benar mencerminkan keperibadian Brian. Susun atur perabot begitu menepati kehendak suasana. Dia hanya bermain dengan rona putih dengan sedikit hiasan sudut yang minimal.
Rona putih mendominasi setiap ruang. Dari ruang tamu sehinggakan kamar tidur. Segalanya putih. Jika ada rona lain sekalipun hanya jambangan mawar merah yang menghiasi sudut hiasan.
“Aku suka putih. Sebab tu aku hiaskan serba putih. Biar nampak luas, terang dan suci,” Jelas Brian seakan memahami apa yang bermain di hati saya.
Saya angguk dan mata terus liar meneliti setiap penjuru kediaman. Tidak sekadar nampak bersih dan luas, harum mawar juga jelas memenuhi ruang suasana.
Brian mengajak saya duduk di ruang tamu. Dari ruang tamu ini saya dapat melihat sendiri hiasan kediaman ini secara total. Tanpa sedar saya memuji kepakaran menghias. Brian menerima pujian saya dengan senyum lebar. Barangkali pujian saya itu bukan pujian pertamanya. Sesuai dengan kerjayanya selaku Perunding Hiasan Dalaman.
Siapapun yang singgah ke kediaman Brian tentu akan bercakap pekara yang sama. Kagum, teruja dan menenangkan.
Sebenarnya, perkenalan saya dengan Brian bermula apabila saya menerima sepucuk surat bersampul biru. Mulanya saya sangka surat tersebut merupakan puluhan surat yang datang daripada pembaca ke meja editorial. Iyalah kan, selaku satu-satunya majalah yang memperjuangkan nasib malang wanita, kami sering menerima pelbagai surat untuk berkongsi komen dan pengalaman.
Nyatanya, hampir keseluruhan surat-surat yang diterima datangnya daripada kaum wanita sendiri. Lelaki adalah juga tetapi tidaklah terlalu ramai.
Namun apabila mendapati surat tersebut diletakkan di meja saya, barulah saya menyedari sememangnya dikhususkan untuk saya membacanya.
Setelah membacanya, saya dapati ianya amat istimewa dan terselit suatu cerita yang perlu dibongkarkan. Akhirnya setelah menghubungi, barulah saya mendapat cerita sebenar. Kami membuat temujanji. Pada pagi minggu yang gerimis, saya berada di ruang tamu Brian dengan hidangan nasi lemak
dan nescafe panas. Amat menyelerakan terutamnya dalam kedinginan suasana.
“Kalau diberi pilihan pun, aku tetap ingin hidup seperti orang lain. Berkahwin dan mempunyai anak. Tapi harapan itu sebetulnya tidak mungkin tertunai sampai bila bila agaknya…” tambah Brian lagi.
“Itu cakap-cakap orang yang sudah berputus asa. Allah tidak suka dengan sikap macam tu,” bantah saya memujuk.
“Nak kata berputus asa tu, agaknya dah lama aku putus asa. Apa yang tinggal sekarang hanyalah sedikit keinginan untuk meneruskan sisa hidup. Esok lusa dijemput Allah, aku redha!”
“Brian seperti menyedari masa untuk menghadapi Allah sudah semakin tiba ke?” cungkil saya seraya meneguk nescafe.
“Semua orang akan mati bukan? Termasuk aku jugak. Yang membezakan hanyalah masa aku sudah hampir kerana perbuatan aku selama ini,” jelas Brian merenung luar jendela.
Pagi itu dia berkemeja merah jambu dengan seluar palazzo berona hitam. Rambutnya yang panjang melepasi bahu dibiarkan lepas bebas. Wajahnya mulus tanpa sebarang cela. Pun begitu saya merasakan Brian tetap bergaya dan begitu terserlah penampilannya.
“Ada orang yang sakit teruk pun tidak semestinya dia pergi awal. Kita yang sihat ni pun belum pasti sihat selamanya,” saya terus memberi pesan dan ingatan agar Brian tidak terlau prejudis dengan kehidupan yang dilaluinya.
“Aku harap aku mampu berfikir seperti apa yang kau katakana itu, “ balas Brian tersenyum nipis. Wajahnya masih sedikit resah dan sedih.
“Insya-Allah Brian mampu!”
“Entahlah, perjalanan hidup aku terlalu banyak pahitnya. Aku tidak pasti apakah masih ada sinar bahagia menanti di esok hari?”
Saya tidak menjawab pertanyaan Brian itu. Kami tenggelam dalam perasaan masing-masing. Di luar hujan masih belum berhenti. Di dalam hati Brian diamuk gerimis perasaan yang begitu meresahkan.
Makanya pagi itu, kedinginan terus mengiringi setiap inci perbualan kami. Seperti mana gerimis yang membawa dingin, begitu jugalah cerita Brian.
Siapa menduga di sebalik senyum tawa, kehidupan ‘lelaki’ yang berusia 42 tahun itu, terselit sejuta memori luka yang tidak terjangkal dek akal. Hakikatnya itulah kisah Brian yang saya dekati dalam gerimis pagi itu.