Daripada isu tuala wanita, arak Timah, pengakuan berani Fauzi Nawawi, kehamilan Neelofa dan penghijrahan Sajat ke Australia, kaitannya merujuk kepada wanita. Dan melengkapkannya kini adalah filem Sa Balik Baju di Netflix.
Cerita tentang wanita adalah topik yang sentiasa diperhatikan, dikritik, diulas dan diperkatakan tanpa mengira siapa. Ianya sesuatu yang sentiasa menjadi trending dan topik utama media sosial dalam dan luar negara.
Sa Balik Baju, terkini dari Red Communications juga berinspirasi yang sama. Dengan teraju penulis skrip, Rafidah Abdullah, Sa Balik Baju terus feminis dalam isu wanita ini.
Terdahulu kita sedia maklum tentang filem terbitan Red Communication seperti Gol & Gincu, Pisau Cukur, Songlap, Istanbul Aku Datang semuanya berpaksi kepada dunia wanita. Wanita diletakkan sebagai hero dalam setiap wataknya. Sementara lelaki dijadikan ‘masalah’ untuk menyempurnakan visi feminis mereka.
Saya tiada masalah dalam soal begini. Sememangnya sesuatu yang elok apabila ada produksi yang fokus untuk memberi info dan maklumat tentang dunia wanita. Malahan semenjak program 3R lagi, Red Communications sudah gah dengan pemberi maklumat tepat bagaimana isu wanita perlu diperjelaskan pada masyarakat terutamanya kaum lelaki.
Maka kerana itulah Sa Balik Baju memberikan persepsi baru tentang dunia kewanitaan di tengah kemelut dunia sosial. Menampilkan Nadiya Nissa, Mira Filzah, Juliana Evans, Kaka Azraff, Sarancak dan memperkenalkan Elena Moujing dengan pelbagai isu yang dekat dengan dunia wanita.
Setiap watak ada cerita mereka tersendiri. Nyatanya kebanyakan cerita disebabkan oleh lelaki. Menarik bukan?
Saya sebenarnya amat mengharapkan untuk filem Red Communication selepas ini, sewajarnya lebih bersikap adil dalam memberi wajah pada setiap watak lelaki dan perangai mereka.
Skrip yang baik adalah bila kita menghidangkan pro dan kontra atas segala kemelut.
Sebagai contoh isu pakaian dalam. Isu ini sememangnya menarik untuk diperjelaskan lagi sekiranya menyelitkan ada tokoh lelaki yang juga mengambil tahu betapa perlunya pakaian dalam yang sesuai. Memang pakaian dalam untuk wanita, tetapi tumpuan akhirnya diberikan untuk kepuasan hati lelaki/ suami jugak bukan?
Masih ramai lagi lelaki yang faham tentang betapa pentingnya pakaian dalam untuk wanita. Lelaki hari ini bukan hanya taksub dengan dunia it, sukan ataupun pemotoran sahaja, malah bab menjaga penampilan diri sememangnya lelaki juga hebat.
Saya pernah bekerja sebagai brand manager di sebuah skincare dan spa. Saya berkata begitu apabila sempat bertemubual dengan suami atau teman lelaki yang menghantar isteri, teman wanita mereka ke spa terbabit. Mereka juga ingin orang tersayang mereka cantik luar dalam. Itu sebahagian contoh yang mudah.
Untuk memahami masyarakat terutama lelaki atau wanita di zaman media sosial ini segala maklumat harus adil dan saksama. Memanglah dalam durasi tidak sampai dua jam untuk menghimpun segala maklumat tidak mudah. Tetapi ianya bukan mustahil. Isu perjelaskan sebaik mungkin tanpa memberi pertimbangan yang berat sebelah.
Hakikatnya Sa Balik Baju akan terus menjadi wajah filem Red Communication dengan trademark sebegini. Tiada sesuatu yang baru walaupun dengan penceritaan yang terkini dan pelakon kebiasaan mereka. Tiada bayang Fazura, Amani maupun Diana Danielle lagi.
Namun bertukar pelakon tidak menjadi soal. Sa Balik Baju tetap seronok ditonton. Tetapi Sa Balik Baju akan lebih cemerlang sekiranya ‘peperangan’ isu lelaki dan wanita ‘lebih diperangi’ tanpa memikirkan siapa menang atau kalah.
Wanita atau Lelaki adalah makhluk yang serba indah ciptaanNya. Maka jadikan keindahan itu sesuatu yang asyik untuk ditonton dan dipaparkan. Tiada antara kita yang sempurna. Tetapi percayalah ketidaksempurnaan sesama kita itulah yang melengkapkan kehidupan ini.
ANWAR RAZALI
STAILISTA GLAMZ
22:10:21
#sabalikbaju #Netflix #StailistaGlamz2021