SENYUM YANG PERGI!

TERSEDAR jam dua pagi, pantas mencapai telefon di sisi. Seolah ada ‘sesuatu’ yang mengusik emosi. Buka Instagram, status jurugambar popular Natrah terpampang. Saya menarik nafas. Serentak itu bacaan al-fatihah singgah di bibir, meresap di hati.

Masih hilang kata-kata saya selusuri ciapan di Twitter. Timeline penuh dengan berita kehilangan itu. Daripada pimpinan negara, para karyawan maupun peminat atau sesiapa juga turut membuat ciapan menghebahkan kehilangan tersebut.

Saya bingkas dan cuba untuk menulis di komputer. Barangkali inilah catatan awal pagi saya untuk cerita kehilangan ini. Namun jari seakan terkaku, hilang idea, hilang entah ke mana. Kosong, Sepi.

Saya kembali menelusuri ciapan. Mencari ciapan yang boleh merangsang fikiran dan membangkit semangat.

“ Mamat Khalid pada aku ialah revoulioner yang single handedly ubah lanskap filem komedi tanah air, setelah sekian lama kita stuck dan bernostalgia dengan filem komedi P.Ramlee. Macam PR, legasi MK akan live forever juga. “ @dawudbahwi

Memang betul kata Dawud Bahwi. Pemilik nama asal Mohamad bin Mohamad Khalid, 58 ini lebih dikenali Mamat Khalid dengan posisi pengarah filem, produser, penulis skrip dan pelakon. Mula bergiat aktif semenjak 1996, saya lebih memahami karya dan aspirasi Mamat Khalid selepas telemovie Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel (1998). Waktu ini saya teruja dengan lakonan spontan pelakonnya dengan cerita yang biasa tetapi ada mesej tersendiri.

Seterusnya saya mengikuti perjalanan filem dan drama arahan serta lakonan beliau. Walaupun saya tidak terlalu teruja tetapi karya Mamat Khalid memang boleh layan. Filem Hantu Kak Limah saya tonton dua kali di pawagam dan di kaca tv sentiasa mengamit hati untuk kembali menonton.

Sekadar menyebut filem kegemaran saya seperti Man Laksa, Rock, Zombi Kg Pisang, Estet dan Manap Karaoke, saya melihat karya Mamat Khalid seringkali begitu dekat dengan kehidupan orang kampung atau masyarakat biasa. Beliau begitu sinonim dengan genre sendiri. Sehinggakan saya terfikir, apakah nama besar seperti Mamat Khalid tidak layak untuk mengemudi filem bersifat aksi moden maupun fiem yang di luar kebiasaannya.

Saya akhirnya sedar, itulah diri Mamat Khalid sendiri. Beliau tidak terlalu menjadi orang lain. Malahan beliau sebenarnya lebih memahami dan mendekati jiwa golongan biasa-biasa terutama orang kampung yang sentiasa banyak cerita yang ingin diluahkan. Namun jauh di sudut hati, saya tetap berharap jika ada peruntukan yang besar, Mamat Khalid tetap mampu berkarya hebat seperti pengarah filem muda yang lain. Sayang sekali sehingga penghujung nafas, impian saya itu berakhir sekadar impian.

Satu lagi yang saya perhatikan betapa Mamat Khalid tidak memandang rupa dalam pemilihan pelakon drama dan filemnya. Beliau lebih senang memilih pelakon wanita yang ‘biasa-biasa’ sekadar penyeri, tetapi tumpuan akan lebih kepada barisan pelakon lelaki. Tontonlah setiap drama dan filem Mamat Khalid, monopoli pelakon lelaki melebihi kelompok wanita.

Justeru Anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (2007) menerusi Zombi Kampung Pisang telah membuktikan kehebatan beliau dalam meletakkan para pelakon lelaki sebagai teraju utama.

Andai ingin dikatakan Mamat Khalid versi P.Ramlee dekad ini, rasanya bukanlah sesuatu yang agak keterlaluan. Seperti P.Ramlee yang gemar bermain dengan cerita masyarakat bawahan dengan satira komedinya, Mamat Khalid pun tidak terkecuali.

Satira komedi Mamat Khalid berada di kalangan hak yang tertinggi. Beliau memperkatakan sesuatu isu dengan cara yang berlapik. Penuh metafora. Dalam gelak beliau mengkritik, dalam sinis menghadiahkan teguran membina. P.Ramlee telah melakukan sebelum ini. Beliau meneruskan dengan caranya.

Hari ini seorang Mamat Khalid bertemu PenciptaNya. Biar bagaimana kenangan, ulasan dan pandangan, legasi karya Mamat Khalid akan terus dikenang, diingati dan dirindui. Sepuluh tahun lalu atau masa mendatang, karya Mamat Khalid akan menjadi rujukan dan rinduan para peminat dan karyawan seni.

Seperti kata Natrah, dalam catatan di facebooknya… MY LAST MASTERPIECE

Sepanjang karier saya sebagai seorang jurugambar , inilah potret terakhir abang Mamat Khalid yang paling termanis telah saya ambil . Senyuman manis yang bakal jadi kenangan sampai bila bila . Arwah bapanya adalah best buddy arwah bapa saya , dan beliau juga bestfriend kepada abang sulong saya dan kami sangat rapat .

Benarlah hidup ini terlalu singkat . Innalillah alfatihah , buat kekandaku yang paling baik hati , kelakar dan berbakat tinggi . U will be missed forever

Lalu senyuman yang ikhlas itu telah tiada. Karya yang jujur itu juga telah terhenti. Kita melepaskan beliau pergi bersama doa yang hangat. Namun setelah beliau pergi, maka mampukah kita menjadi seperti beliau. Menghadiahkan karya yang memberi senyum dan gembira. Atau setidaknya, kita sentiasa menjadi jujur pada setiap apa yang kita lakukan? Selepas kita pergi, kita akan dikenang dan dirindui seperti beliau?

Al-Fatihah Abang Mamat!
Anwar Razali
Stailista Glamz
24.10.2021
#mamatkhalid #StailistaGlamz2021

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart