Media sosial minggu ini kecoh dengan cerita tentang terbongkar kembali kisah kecurangan seorang pelawak dan pengacara popular. Lebih menariknya ianya bukan sekadar khabar angin tetapi didedahkan sendiri oleh isteri pelawak tersebut. Luahan di Instagram si isteri menjadi buah mulut netizen dan menjadi viral sekelip mata.
Adalah bukan tujuan artikel ini untuk mengulas atau mencari salah siapa dalam kekecohan tersebut. Apapun terjadi, kita wajar memberi peluang kepada empunya diri untuk menyelesaikan masalah mereka. Kita boleh membuat kritikan, komen tetapi bak kata pepatah, jangan keterlaluan menjaga tepi kain orang lain, sedangkan kain sendiri bergelumang dengan najis.
Sekadar memberi pandangan tanpa emosi yang keterlaluan tentunya pekara biasa di media sosial yang tanpa sempadan ini, namun biarlah pandangan itu bersifat membina tanpa menjatuhkan aib sesiapa.
Curang bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Ianya juga bukan pilihan atau jalan pintas untuk lari daripada masalah sebenar. Curang dalam perkahwinan lebih berbahaya berbanding curang ketika di alam percintaan.
Perkahwinan yang terperangkap dengan api curang hanya akan mengundang parasit dan virus tanpa boleh dipulih secepat kilat. Tiada penawar khusus untuk merawat virus curang ini.
Sedangkan virus Covid-19 pun, pakar kesihatan huru hara mencipta vaksinnya yang belum terjamin keberkesanannya, inikan pula virus curang yang berkaitan dengan hati dan perasaan.
Rasulullah S.A.W bersabda , “ Biasakanlah berkata benar, kerana benar itu menuntun kepada kebaikan dan kebaikan itu menuntun ke syurga.
Hendaklah seorang itu selalu berkata benar, sehingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang shiddiq (amat benar). Dan berhati-hatilah dari dusta, kerana dusta akan menuntun kita berbuat curang dan kecurangan itu menuntun ke neraka. Seseorang yang selalu berlaku curang akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.” -Hadis Riwayat Bukhari Muslim.
Jelas di sini bila seseorang itu mula curang, dia secara automatik ‘sedarah’ dengan dusta. Curang dan dusta akan beriringan untuk bersatu untuk mengukuhkan gabungan kesepakatan mereka. Maka sikap jujur, belas kasihan dan ikhlas akan terhakis sedikit demi sedikit.
Mereka yang curang akan sentiasa mencari jalan untuk menutup kecurangan mereka. Alasan demi alasan dicipta tanpa sedar logik atau tidak dizahirkan. Sedangkan bagi mereka yang menjadi mangsa kecurangan akan menjadi keliru, terseksa dan ‘makan hati’.
Masakan tidak, seseorang yang pernah berjanji sehidup semati suatu ketika dahulu sudah berubah arah.
Filem Madu Tiga arahan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee, yang diterbitkan 1964, menjadi penanda aras tentang kecurangan dalam perkahwinan. Meskipun digambarkan dalam satira komedi, P.Ramlee sudah melangkau masa menceritakan tentang kerenah suami dan isteri apabila curang bermula.
Dan hari ini, curang dan dusta bukan lagi taboo yang menjadi sesuatu yang sulit untuk diperkatakan. Lebih-lebih lagi dengan kecanggihan teknologi tanpa sempadan, maka ianya pantas tular dan menjadi tumpuan netizen.
Jika ada mengatakan kecurangan itu takdir dan kebetulan, anggapan itu tentunya datang daripada mereka yang berlaku curang. Menyalahkan takdir adalah jalan terakhir untuk menyelamatkan diri daripada kesilapan sendiri. Curang juga bukan pilihan. Sebagaimana kita diberi pilihan untuk memilih yang terbaik dalam kehidupan, apakah
kita melihat curang itu sesuatu yang biasa atau sekadar suka-suka? Mereka yang waras tentu sedar apabila curang itu berputik, ianya akan bertunas dan bercabang serta membesar menjadi pohonan dusta yang berbuahkan celaka dan bala.
Tiada sejarah yang membuktikan mereka yang curang itu akan dirahmati, dilindungi dan dihormati. Meskipun ianya boleh dimaafkan tetapi parut curang itu tetap ada dan sentiasa kekal pada mereka yang melaluinya. Curang adalah penyakit hati yang sentiasa tidak pernah bersyukur dengan apa yang telah ada di depan mata.
Barangkali cabaran untuk berlaku curang itu sesuatu yang mencabar, ada sesetengah daripada kita membuat cabaran pada diri sendiri untuk menguji sejauh mana ‘saham ‘ kita itu.
Dan kepada yang sentiasa ingin menjadi parasit dalam agenda curang itu, tentunya tidak peduli dengan sebarang risiko maupun kesan tindakan mereka itu. Nyatanya bila nafsu menguasai, maka kita akan menjadi tidak waras dalam banyak pekara.
Kes pelawak tersebut hanya sebahagian daripada cerita curang masyarakat. Pelawak itu terpaksa menerima kesan popularitinya kerana dia dikenali. Sedangkan di luar sana ramai lagi yang lebih teruk daripada kecurangan pelawak itu sendiri.
Selagi dinamakan manusia, kita sememangnya tidak lari dari masalah dan kesilapan. Namun yang membezakan adalah tindakan dan penyelesaian kita apabila telah terlanjur membuat silap dan salah.
Untuk yang pernah curang dan dicurangi, nasihat saya mudah sahaja. Pilihan di tangan kalian. Sebagaimana Allah menciptakan syurga dan neraka, maka bersedialah kita untuk dipertanggungjawabkan di sana nanti atas segala apa yang kita lakukan. Di dunia ini kita boleh memberi pelbagai alasan mengapa dan kenapa kita curang, tetapi di hadapan
Pencipta nanti, mampukah kita memberi alasan yang selayaknya agar tidak mengheret kita ke neraka?