DI SEBALIK BUNGA TELANG, TUALA WANITA

Di Sebalik Bunga Telang , Tuala Wanita

Secara tiba-tiba bunga Telang menjadi popular. Bukan kerana warna, tetapi kali ini kerana bentuknya pula. Bunga Telang menjadi isu kempen tuala wanita berjenama, yang dikatakan telah mencemar kehormatan wanita.

Bunga Telang sinonim menjadi agen pewarna untuk pembuatan nasi kerabu. Namun apabila tular dan dirujuk menyerupai bentuk alat sulit wanita (Vulva), maka mengundang pelbagai persepsi tentang betapa intimnya bentuk bunga Telang dengan sesuatu yang begitu dekat dengan aset utama wanita.

Pendakwah dan Senator Ustazah Asmak Husin dalam tweetnya mengatakan Libreese tidak menghormati wanita. Beliau turut menyertakan pandangan , pengerusi, Majlis Wanita Islam Yadim (Maya), Dr. Safinar Salleh yang menyatakan kempen tersebut telah mengekspolitasikan wanita dalam iklan. Sekaligus perlu ditarik balik dua kempen Libreese – ‘V-Kebaya’ dan ‘Know Your V’.

Libreese Malaysia dalam responnya pula, menegaskan mereka mengambil maklum atas segala pandangan. Namun tidak berniat untuk menyinggung perasaan wanita mahupun komuniti tertentu. Kempen tersebut lebih bersifat infomatif terutama penjagaan alat sulit wanita.

Isu Vulva dan kaitan dengan bentuk bunga Telang bukan sekadar menarik perhatian pelbagai pihak. Ada yang menyokong dan tidak terkecuali membantah atas ‘keberanian’ kempen tersebut.

Namun artikel ini sebenarnya lebih menjurus kepada pandangan dan persepsi lelaki berkenaan isu ini. Apabila viral, apakah lelaki merasakan ianya sesuatu yang memalukan atau sebaliknya.

Dan bagaimana pula dengan kempen dan iklan produk tertentu yang menjurus kepada alat sulit lelaki? Jika dilihat dan diperhatikan secara halus, iklan produk ‘ besar’ ‘panjang’ ‘tahan lama’ dan perkataan seumpamanya lebih ‘menakutkan’ berbanding kempen Lebreese itu sendiri.

Mengapa tiada pula yang yang memprotes secara terangan berkenaan iklan tersebut. Apakah apabila dikaitkan dengan lelaki, ianya dianggap biasa-biasa. Tetapi jika membabitkan wanita ianya perlu diperdebatkan sehabis mungkin atas alasan maruah wanita.

Sebenarnya, apa kempen pun ada strategi dan sasarannya.

Masyarakat Malaysia perlu lebih bersikap positif dan berlapang dada menerima sesuatu yang bersifat taboo. Jika kita terbiasa dengan isu rasuah, covid-19, bendera putih atau hitam, kita sewajarnya perlu membiasakan diri dengan kempen bersifat mendidik terutama bab pendidikan seksual ini.

Usah sempitkan pemikiran dengan bentuk dan saiz sehingga niat sebenar tenggelam. Kita wajar bersedia dengan info tanpa sempadan dengan menerima logik akal dan keperluan semasa.

Saya tertarik dengan kata-kata seorang suami ketika membeli tuala wanita untuk isterinya. Apakah pilihannya dalam memilih tuala wanita. Jawabnya mudah sekali. “ Saya tidak peduli tentang jenama, hanya perlu tahu ada ‘wing’ atau tidak. Dan sudah tentunya keselesaan isteri saya ketika memakainya.”

Bunga Telang, tuala wanita atau minyak urut adalah sebahagian cerita kehidupan. Jika sesuatu yang membuatkan kita tersinggung, maka beralihlah kepada jiwa yang lebih positif. Setiap ciptaan Tuhan itu adalah kelebihan dan kekurangannya. Jika ada sesuatu yang mendidik, menasihat dan menyelesaikan masalah, terimalah dengan hati yang terbuka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart