BILA BUDU LEBIH ENAK DARIPADA KIMCHI

SEPERTI irama cha cha cha yang santai, seronok dan menghiburkan, demikianlah gambaran yang dapat diberikan untuk k-drama Hometown Cha-Cha-Cha. Segala intipati kehidupan manusia dengan pelbagai emosi dan sikap diadun sempurna sehingga menjadikan naskhah 16 episod ini ditonton dengan jiwa yang besar.

Berlatarkan sebuah perkampungan nelayan ‘Gongjin’, Hometown Cha-Cha-Cha memberi fokus utama pada dua watak hero heroin Hyejin dan Doo Shik yang berbeza pendirian. Namun sebagaimana perbezaan itu sebenarnya titik permulaan untuk sebuah kebahagiaan, maka keduanya menjadi pelaras kepada perkembangan watak pembantu dan sampingan yang lain.

Meskipun ‘Gongjin’ sekadar nama untuk lokasi drama ini, pengambaran sebenarnya di lakukan di Pohang, Korea Selatan. Pohang merupakan sebuah bandar raya yang terletak di wilayah Gyeongsang Utara. Bandar raya ini dibahagikan kepada dua buah daerah iaitu Buk-gu (Daerah Utara) dan Nam-gu (Daerah Selatan).

Inilah kelebihan Hometown Cha-Cha-Cha yang berdiri atas skrip kemanusiaan yang ada di mana- mana juga. Di sebalik apa yang kita lihat, tentunya tersembunyi sesuatu yang tersirat. Apa yang kita rasakan menarik, belum tentu di dalamnya juga memukau. Begitu juga kita pernah melihat seseorang itu begitu gembira dan lucu sekali, walhal kita tidak tahu betapa jiwanya adalah wajah sebaliknya. Gambaran hakiki adalah dia seorang yang memiliki sejarah luka yang parah, dendam kesumat, api amarah yang celaka dan trauma dengan tragedi hidup yang memburu.

Untuk membandingkan siri hebat k-drama ini dengan drama kita rasanya bukanlah sesuatu yang sukar untuk ditemui. Walaupun seperti biasa, kita seringkali terbelenggu dengan skrip yang tangkap muat dan ala kadar, tetapi mengambil contoh drama Kampung Pisang (Mamat Khalid), Mak Cun (Eirma Fatima), Kampung People (Wan Hasliza) atau filem Sepet, Talentime ( Yasmin Ahmad), Estet, Hantu Kak Limah Balik Kampung, Man Laksa (Mamat Khalid), Gol & Gincu ( Bernard Chauly) kita juga memiliki genre sebegini. Terdahulu siri Drama Minggu Ini RTM, Opah dan Anjang Aki yang popular 80-an pun ada persamaan ini.

Cuma Hometown Cha-Cha-Cha memiliki skrip yang begitu teliti. Bukan hanya memberi tumpuan pada telatah penduduk setempat dengan pembukaan satu-satunya klinik gigi milik doktor Hye Yin, tetapi sisi lain mereka juga diselongkar.

Saya teruja kerana watak-watak tersebut ada di sekeliling saya juga. Saya ada kawan yang kalau setiap kali bercakap, tangannya akan berjalan. Ada kawan yang mudah menangis, merajuk, pandai memasak, menyanyi, kuat bergosip dan banyak lagi watak dalam drama ini ada di persekitaran kita. Semua watak memberikan wajah dan kaitan dengan cerita ini sehingga Hometown Cha-Cha-Cha Cha diadun menjadi sebuah drama kekeluargaan wajib tonton di Netflix.

Kehidupan seharian dengan pelbagai cerita hidup pahit manis adalah skrip terbaik untuk dipaparkan ke kaca tv maupun layar perak. Kita masih boleh berkreatif dengan cerita rekaan seperti Zombi Kampung Pisang, KL Gangster dan Abang Long Fadil ( sekadar menyebut beberapa tajuk), tetapi untuk tontonan yang memberi erti biarlah kita menjadi ‘cerdik sedikit’ dengan memaparkan cerita yang dekat dengan masyarakat kita.

Penulis skrip harus berani mencabar diri untuk lebih berimaginasi, Jika Hometown Cha-Cha-Cha berpaksikan cerita doktor gigi, kita pun apa kurangnya. Cerita penjual nasi kerabu, pemunggut besi buruk, penghantar makanan atau apa sahaja cerita seharian sudah mampu memukau sekiranya diadun dengan pengolahan yang logik dan komersil.

Cukup-cukuplah drama jam 7 dan 10 malam di stesen tv menghidangkan skrip mual kahwin paksa, cinta antara dua darjat, bisnes juta juta Megah Holding dengan budaya barat makan bersudu garpu. Kembangkan minda dengan sesuatu yang mendidik dan dalam waktu yang sama menghibur.

Hometown Cha-Cha-Cha berdiri atas keindahan pantainya, apa kata Langkawi, Tioman, Sepadan atau Taman Negara dijadikan lokasi seterusnya untuk genre sebegini. Kekalkan budaya dan loghat setempat. Kita tentu lebih hebat daripada Home Town Cha Cha Cha Cha kerana memiliki masyarakat Melayu, Cina, India, Bidayuh, Jawa, Dayak dan banyak lagi.

Mereka hanya bergantung kepada bangsa Korea, tetapi kita lebih daripada itu. Kesimpulannya, kita mampu sekiranya kita ingin. Kita boleh berjaya kalau bersungguh. Tepuk dada tanya selera. Kimchi sebenarnya tidak sesedap mana berbanding sambal belacan, budu, cencaluk maupun tempoyak!

ANWAR RAZALI
STAILISTA GLAMZ
20.10.21
#KataEditor #StailistaGlamz2021 #Netflix #HometownChaChaCha #kdrama

1 thought on “BILA BUDU LEBIH ENAK DARIPADA KIMCHI”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart