SQUID GAME , NAMRON DAN AGENDA SEJUTA

Fenomena siri Squid Game bukan lagi cerita kosong, Ianya menular sehingga seluruh dunia. Squid Game juga menjadi trending di Malaysia. Sekaligus mendorong pelbagai polemik tentang kita perlu juga meniru atau ada siri seperti itu.

Saya berkesempatan menonton Squid Game di Netflix. Bukan kerana fenomena yang tercetus, tetapi saya memang fanatik filem dan drama dari Korea. Saya berasakan Squid Game tidak akan mengecewakan terutamanya apabila ‘game’ yang menjadi permainanan Squid Game ini berinspirasi dari permainan kanak-kanak Korea. Menarik bukan?

Demikianlah K-Drama yang tidak pernah kering dengan idea baru. Setiap cerita yang mereka bawakan, biar apapun genre tetap disusun rapi dengan skrip, lakon layar, lakonan, penataan seni, muzik serta arahan yang membuat kita tidak akan berganjak dari menonton.

Kerana itulah saya seringkali memilih untuk menonton episod bersiri yang terlalu lama kerana akan ‘terperangkap’ dengan mood cerita tersebut. Keinginan untuk menonton sentiasa ada, sehingga bagaikan tidak sedar menghabiskan belasan episode dalam beberapa hari sahaja.

Mujur Squid Game sekadar 9 episod. Jadi ianya tidak menjadi isu. Makanya menonton Squid Game bermula dengan keterujaan yang berterusan. Adakalanya debaran melanda kerana plot cerita yang tersusun kemas.

Saya tidak mahu mengulas lebih tentang Squid Game, tetapi saya ingin menghubung kaitkan dengan dua perkara yang sedikit mengusik hati saya untuk memperkatakannya.

Pertamanya apabila isu keperluan satu juta pengikut kepada para selebriti untuk diterima berlakon sebagai syarat stesen tv. Dan keduanya tentang pelakon serba boleh Namron yang begitu bersahaja membalas isu tersebut dengan pelbagai tweet serta posting yang tentunya sebagai tindakbalas kepada isu tersebut.

Kita sedia maklum tentang kehebatan lakonan Namron, dengan pelbagai filem, watak dan anugerah yang diterima, Namron berada dalam kelas tersendiri. Namun begitu pengikutnya di Instagram hanya 114k. Untuk menyamai ke angka I juta memerlukan perjuangan, sokongan dan pengorbanan yang bukan sedikit.

Sehinggakan dalam satu postingnya dengan catatan : Menyahut cabaran tv station dan sesetengah penerbit yang mahukan sekurang kurangnya 1 juta pengikut di medsos, Road to 1 million followers. #foto bugil penuh akan disiarkan sekiranya sasaran tercapai sebelum 2022.

Gambar tanpa berbaju di instagramnya menerima lebih 7 ribu like.

Dan seterusnya Namron membuat posting baharu dengan berjubah yang akhirnya mendapat lebih 8 ribu like.

Menerusi ciapan twitter beliau menulis: Foto berjubah telah mendapat lebih 4k rt dan lebih 11k likes dalam masa 24 jam tanpa publisiti dari media online. Foto separuh bugil hanya mendapat 3911rt dan 6300 likes setelah 4 hari dengan publisiti media online. Apa yang kita dapat pelajari dari eksperimen ini?

Dan akhirnya Namron yang memiliki 20.2k pengikut di akaun Twitter TA Nam Ron @_Nam_Ron_ menulis : Do you really think I really desperately want 1 million followers?

Then you’re wrong! You don’t know who I’m. I don’t need 1 million followers to get an offer from tv station or some producers.

Because my name is Nam Ron.

Untuk rekod, Namron atau nama sebenanya Shahili bin Abdan, 52 bersama-sama dengan isterinya June Lojong, Syamsul Yusof, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Chew Kin Wah, Zahiril Adzim, Maya Karin dan Puteri Balqis telah disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global oleh Harian Metro pada Jun 2018.

Menerusi filem One Two Jaga (2018) arahan beliau, Namron meraih kemenangan besar di Festival Filem Malaysia ke-30 dan Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 apabila beliau telah memenangi trofi Pengarah Terbaik.

Menurut beliau, pengiktirafan karya berkisar gejala rasuah dalam kalangan anggota polis melalui filem arahannya itu membuatkan beliau lebih berani menghasilkan karya yang ada “suara”.

Beliau juga memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Parit Jawa ( Anugerah Skrin 2012), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik -Balqis (Anugerah Skrin 2014), Pelakon Lelaki Terbaik – Redha ( Festival Filem Malaysia ke-29, dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem – Dukun (Anugerah Skrin 2018).

Persamaan Squid Game dan Namron adalah kerana bakat mereka. Kita melihat sendiri barisan pelakon Squid Game yang tidak popular dan bukan carian utama di internet. Tetapi mereka tetap berlakon dengan jiwa yang besar. Dan akhirnya kerana mutu lakonan yang berkarisma, maka Squid Game berjaya dan mendapat perhatian global. Populariti para pelakonnya mula naik dan dikenali selepas itu.

Inilah yang harus kita pelajari.

Sebuah naskhah terbaik sebenarnya bukan bergantung kepada jumlah pengikut. Bakat dan aspek serta ilmu drama atau filem itu sendiri yang mampu membawa sesebuah cerita itu disukai ramai.

Stesen tv maupun penerbit harus keluar dari kepompong dunia media sosial taksub dengan jumlah pengikut. Sudah-sudahlah penonton dimualkan dengan lakonan kayu para instafamous maupun mereka yang ingin bergelar anak seni dengan sandaran jutaan pengikut.

Saya sendiri pun tidak peduli siapa pelakon setiap drama atau filem yang akan saya tonton. Janji skrip, arahan, sinematography dan segala yang perlu untuk sebuah filem atau drama membuat saya terpaku di depan tv dan handphone sudah memadai. Letaklah siapapun, asalkan menarik dan bertepatan dengan konsep cerita, saya akan tonton sampai habis.

Squid Game, Namron adalah cerita hidup yang sebenar. Kita perlu belajar dari mereka ini. Permainan hidup kita bukan sekadar untuk kelihatan cantik, hensem sahaja tetapi apa yang diceritakan di sebalik cerita kehidupan itu yang lebih penting. Fikir-fikirlah.

ANWAR RAZALI
STAILISTAGLAMZ
19:10:2021
#squidgame #namron #Netflix #roadto1million2021 #stailistaglamz

#StailistaGlamz2021

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart