BONEKA YANG BERDENDAM

TIADA siapa tahu. Musuhku. Dendamku.

Itulah tagline k-drama yang tengah trending di Netflx , My Name adalah siri televisyen streaming Korea Selatan yang diarahkan oleh Kim Jin-min dan dibintangi oleh Han So-hee, Park Hee-soon, dan Ahn Bo-hyun. Siri ini berkisar pada seorang wanita yang bergabung dengan geng kongsi gelap untuk membalas kematian bapanya dan kemudian menyamar sebagai polis.

Klise bukan ceritanya. Namun begitu ingin diingatkan di sini, klise yang dikatakan itu sememangnya klise yang membuatkan kita berasa kagum dan teruja. Lebih-lebih lagi jika anda seorang wanita atau mereka yang pernah mengalami masalah yang sama.

Dalam hidup ini, kesakitan yang teramat sangat adalah bila kita dibonekakan oleh orang yang kita percaya dan hormat. Bukan sekadar menjadi boneka, sepanjang hidup kita dibohongi dengan fakta yang salah. Walhal, selama ini kita tercari-cari kebenaran kehilangan orang tersayang, dan seterusnya berjuang untuk menuntut bela.

Meletakan wanita sebagai teraju utama, bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tetapi yang menjadi luar biasa adalah bagaimana watak itu berkembang dan merealisasikan api dendam yang membara. Yang menjadi lebih menarik, apabila seseorang yang kita sangkakan tidak bertanggungjawab itu sebenarnya seseorang yang sebaliknya. Maka kebencian yang kita tanam sejak dulu lagi, memberikan kesan mendalam pada diri sendiri. Kita berasa amat bersalah kerana beranggapan begitu.

Han So Hee selalu Ji-Woo yang melalui pengalaman hidup daripada remaja sehingga bergelar pegawai polis, melakukan kerja lakonan yang baik. Kemampuannya dalam memberi impak terutama dalam bab aksi amat baik. Walau ada kalanya kita merasakan dia terlalu hebat, tetapi itu bukanlah persoalannya. Dia hero. Jadi sepatutnya begitulah hero ditonjolkan. Lebih-lebih lagi dengan trauma kematian ayah dibunuh di hari jadinya, adalah titik permulaan untuk hati menjadi keras sekeras batu, seteguh karang.

Dalam hidup ini, apabila kita dihadapkan dengan pelbagai dugaan dan musibah, kita terpaksa menjadi kuat untuk diri sendiri. Jika sudah terpahat api dendam demi yang tersayang, kita akan menjadi tidak kisah dengan apa juga

halangan dan rintangan. Inilah seringkali kita terpaksa lalui dan terima walaupun kehidupan setiap daripada kita berbeza. Hakikatnya apa juga agenda hidup, apatah lagi membabitkan yang tersayang, kita akan menjadi kuat sekuatnya.

My Name adalah genre aksi. Jika anda pengemar drama sebegini, inilah selayaknya menjadi pilihan. Jika anda seorang yang berjiwa jiwang karat, My Name bukan untuk anda. Tetapi ianya tetap seronok ditonton. Perjalanan cerita yang mudah dan boleh dijangka, maka tontonlah dengan semangat wira sebenar.

Kehidupan adalah perjuangan yang tanpa henti. Sepanjang perjuangan itu kita akan dihadapkan dengan pelbagai cerita. My Name sedikit sebanyak memberi inspirasi untuk kita agar lebih berhati-hati dengan apa yang kita niatkan, doakan, harapkan. Andai segala yang kita niatkan itu tertunai dan kesannya memuatkan kita akan terluka, maka bersediakah kita untuk memaafkan diri sendirI?

Anwar Razali
Stailista Glamz
28 Okt 2021
#myname #mynamenexflix #Netflix #KataEditor #StailistaGlamz2021

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart