INSPIRASI PERANGKAP MUSIBAH

Banyak cerita yang berinspirasi pandemik covid-19 dilahirkan. Dengan konsep penceritaan yang boleh dijangka, inspirasi seperti ini memerlukan skrip yang ‘cerdik’ tanpa kelihatan terlalu mendidik.

Stuck Together, sebuah filem Perancis ini diarahkan oleh Dany Boon, skrip Laurence Arné dan Dany Boon dan dibintangi oleh Dany Boon, Liliane Rovère dan Yvan Attal mula ditayangkan di Netfix sejak 20 Oktober 2021.

Saya tertarik untuk memuji konsep penceritaan Stuck Together yang begitu dekat dengan apa yang berlaku di Malaysia juga. Skripnya seiring dengan lakonan yang bersahaja sedikit satira membuatkan Stuck Together mudah difahami dan sesuai untuk tontonan sekeluarga.

Banyak isu secara jelas tentang Covid-16 diperhalusi sebaik mungkin. Meskipun hanya berkisar pada satu lokasi utama iaitu pangsapuri, namun karenah penghuninya sudah cukup menimbulkan seribu satu cerita. Masing-masing ada fobia dan trauma serta visi untuk mengatasi permasalahan Covid-16 ini.

Berbanding dengan filem terbitan Malaysia, Frontliner, kita ‘tertinggal bas’ yang jauh dengan Stuck Together. Bukan sahaja ‘tertinggal bas’, Frontliner terpaksa pula ‘berjalan kaki’ untuk mengekori Stuck Together yang sudah cukup ‘dua dos vaksin’ itu.

Saya selalu tekankan pada sesiapapun yang ingin membuat filem dan drama, tolonglah kuatkan penceritaan. Berbelanjalah lebih untuk mencari penulis skrip yang boleh membina minda dan tahu apa yang ingin dipaparkan dalam sesuatu cerita. Tanpa skrip yang kuat dan matang, letaklah pelakon gred A++++ seramai manapun. Hasilnya tetap ke laut. Rosak dan menjadi bala bencana.

Stuck Together dari Perancis. Saya langsung tidak mengenali para pelakonnya. Namun saya seronok dan terpesona dengan lakonan mereka yang bersahaja dan kena pada tempat dan wataknya.

Hakikatnya, mengambil inspirasi isu semasa, saya boleh puji filem kita, Daulat yang cukup kerana berinspirasi daripada kemelut politik Malaysia. Mereka berani untuk berkreatif dan hasilnya amat memberangsangkan.

Sementara untuk inspirasi daripada Squid Game yang meletakkan YB Mazlee Malik sebagai tarikan, Taruh bolehlah dibanggakan sedikit walaupun ianya kelihatan seperti tangkap muat untuk kelihatan mengikut trend. Kalau skrip dan lakonan lebih ditelitikan ianya lebih memberi kesan dinamik. Apapun saya puji YB Mazlee Malik berlakon. Ada emosi. Dan dialog yang dilontarpun kena pada tempatnya. Itu yang selayaknya dipertonjolkan.

Stuck Together berdiri atas inspirasi pandemik sedunia, namun ianya sebuah filem untuk tontonan sedunia juga. Banyak yang boleh kita kutip dan pelajari dari filem ini. Terutamanya bab kasih sayang sesama kita.

Musibah sepatutnya mendekatkan kita pada kehidupan dan masyarakat. Saling berkasih sayang tanpa prejudis. Dan sebagai seorang Islam, musibah adalah peluang terbaik untuk kita kembali semula ke Al-Quran dan Sunnah. Sesungguhnya apa yang berlaku hanya Allah yang lebih mengetahui dan mampu mengatasinya.

Anwar Razali

www.stailista-glamz.com
10;11;21
Kuala Lumpur
#StailistaGlamz2021 #stucktogether #frontliner #Netflix #Daulat #taruh

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart