TENTANG SEORANG ALIFF

 
DEMIKIANLAH bukan bagaimana kita bermula tetapi bagaimana kita mengakhirinya. Agenda atau timeline hidup seseorang bukan sesuatu yang kita boleh jangkakan. Ianya milik yang di atas sana. Kita hanya berhak membuat perancangan, andaian, kesimpulan, namun kesudahannya ketentuan adalah milikNya.
 
Gegar Vaganza 8 melabuhkan tirainya dengan menobatkan Aliff Aziz sebagai pemenang. Barangkali ianya satu takdir yang amat manis dalam perjalanan hidup seorang anak seni dan seorang lelaki yang bernama Aliff Aziz. Dan sudah tentunya ianya bukanlah lagi barangkali atau satu kebetulan, segalanya telah tersurat. Aliff Aziz menerima sesuatu anugerah baharu di sebalik cerita luka payaunya selama ini.
 
Saya bukan penggemar Aliff Aziz. Malahan pada peringkat awal apabila diumumkan senarai finalis GV8, saya mempertaruhkan Adibah Noor sebagai juara. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kehebatan Adibah maka saya merasakan dia boleh ‘makan’ semua finalis lain. Namun mengikuti 10 minggu perjalanan GV8 dengan pelbagai konsep lagu yang diberikan, tumpuan saya mula terarah kepada Aliff Aziz, Niki, Suki Low. Mereka bertiga sentiasa memberi wajah berbeza penuh warna warni dalam persembahan mereka setiap minggu.
 

Apabila melihat keseluruhan persembahan konsert akhir finalis terutamanya pemilihan lagu Adibah Noor dan Aweera yang saya rasakan tidak mampu mengangkat nama mereka untuk bersaing dengan tiga yang teratas itu, saya berfirasat salah seorang daripada mereka adalah pilihan terbaik untuk bergelar juara. Tiada bantahan untuk itu.

Pilihan peribadi saya? Saya pilih Suki Low. Dia penuh semangat, vokalnya begitu Melayu. Bagi saya Suki di peringkat akhir terutama duetnya bersama Shila Amza begitu memukau. Malam final Suki memberikan 200 persen persembahan yang bersifat professional. Lagak spontan melemparkan kasutnya akan diingati sebagai momen terbaik GV8.
 
Namun satu perkara yang saya sedari betapa perjalanan kesemua mereka tidak terhenti di sini. Terutamanya Aliff Aziz. Saya melihat penghijrahannya ke arah memanusiakan dirinya sebagai seorang muslim dan anak seni jelas ketara. Tidak henti-henti dalam ucapannya dia mengucapkan syukur pada Allah dan ianya tampak ikhlas dan jujur. Semoga Aliff terus istiqamah dan terus di atas landasan yang betul selepas ini.
 

Sebenarnya agenda hidup setiap daripada kita penuh berbeza. Timeline setiap daripada kita tidak mungkin kita dapat caturkan walau bagaimana kita inginkan. Maka kerana itulah, melihat Aliff Aziz yang pernah jatuh berkali-kali, silap berkali-kali namun tetap diberi peluang untuk memperbaiki dan mempamerkan apa yang dianugerahkan kepadanya adalah inspirasi kepada saya dan sesiapa juga tentang hakikat hidup. Setiap kita ada ruang untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Kisah pahit luka melara adalah cerita kehidupan. Sampai saatnya kita akan kembali kepada realiti bahawa ada kuasa yang lebih hebat daripada kemampuan dan kelemahan kita.

Cerita tentang seorang Aliff adalah cerita tentang kita. Cerita tentang agenda hidup. Jatuh bangun, pahit manis adalah asam garam hidup. Maka kerana itulah, siapapun kita sebelum ini, marilah kita akhiri hidup kita dengan sesuatu yang lebih baik dan belajar menjadi sempurna di sebalik ketidaksempurnaan.
 
Tahniah Aliff Aziz. Tahniah untuk semua. Terima Kasih Gegar Vaganza8 atas keriangan, keindahan dan cerita malam minggu yang penuh bermakna. Bukan sekadar hiburan, ianya ada sesuatu yang kita perlu pelajari tentang nilai kehidupan.
 
Anwar Razali
24 Januari 2022
8: 26 pagi
Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart