Â
KATA Â sahabat baik saya Syed Wafa, beliau antara penyanyi yang dibayar lumayan untuk persembahannya. Bukan calang-calang harga. Syed Wafa yang sudah sekian lama berkecimpung dalam pengurusan acara dan juga seorang wartawan serta youtuber turut mengakui betapa displinnya beliau dalam memastikan setiap persembahan yang dibuatnya berada dalam lingkungan terbaik, cemerlang dan professional.
Itulah gambaran awal yang boleh saya ungkapkan tentang figura hebat Anuar Zain. Ianya bukan omong kosong tetapi fakta yang semua karyawan, wartawan, pengamal media maupun peminat Anuar Zain sendiri tahu tentang hakikat itu. Nyatanya Anuar Zain berada dalam prestij tersendiri tanpa perlu bersaing dengan sesiapa juga.
Saya sendiripun ada pengalaman manis dengan beliau. Beliau pernah membuat persembahan di majlis anugerah URS yang saya kendalikan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, terlibat juga dengan pembikinan muka depan majalah URS bersama model ciptaan saya. Malah studio kami di Wisma Mutiara Puchong, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi fotografi beliau hadir dengan sikap yang penuh sopan dan komitmen. Sedangkan waktu itu studio kami masih terlalu sederhana berbanding sekarang, namun beliau tetap selesa berfotografi dan melayan karenah model-model wanita saya yang teruja dapat berfotografi bersama Anuar Zain. Â
Saya pernah juga menonton konsert beliau dan kagum dengan suara gemersik beliau yang tiada tandingnya. Mendengar jeritan para peminat yang seperti histeria, sedarlah saya betapa aura lelaki yang bernama Anuar Zain itu sesuatu yang luar biasa. Tiada duanya.
Terdahulu mengenali beliau ketika saya masih remaja dan beliau telah gah dengan lagu Kain Pelikatnya bersama Ellina. Jenama Anuar & Ellina membawa Anuar Zain ke kemuncak di zaman remaja seterusnya era lagu Lelaki Ini, Keabadian Cinta, Sedetik Lebih  dan Bila Resah. Hanya setelah bergelar wartawan dan editor baharulah saya berkesempatan bertemu mata dan menemubualnya. Kami sama nama namun ejaan sahaja yang membezakan. Namun terkenang kata Rozi, Pengurus Dato’ Siti Nurhaliza yang mengatakan kami banyak persamaan, seperti adik beradik. Aduhai, kembang hati saya ketika Rozi memuji sewaktu saya membuat fotografi bersama Dato’Siti Nuralilza di studio Astro dahulu. Ketika itu Anuar Zain turut hadir.
Sebenarnya, catatan ini bukan sekadar catatan. Ianyanya maklum balas atas segala kejayaan dan pengalaman yang pernah saya selusuri sejenak remaja sehingga kini dalam berbicara tentang profile Anuar Zain. Â Lebih-lebih lagi apabila ada suara sumbang yang kurang cerdik membuat cerita yang kurang enak tentang beliau.
Saya berpendirian mudah dalam apa perkarapun. Cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar. Tiada siapapun yang sempurna dalam hidup ini. Namun kita harus sedar juga, apabila melibatkan live di media massa, ianya membawa pelbagai persepsi dan kemungkinan. Membabitkan figura yang mendapat perhatian netizen, kita perlu lebih berhati-hati. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Kerana itu saya puji Anuar Zain tidak menjawab pertanyaan Melodi semalam. Beliau hanya membicarakan soal kerjaya dan sedikit hal peribadi. Untuk menjawab kontroversi yang tercetus itu, beliau mengambil sikap usah peduli dan no komen. Itulah selayaknya. Tiada guna melayan isu yang tidak memberi manfaat. 2022 sepatutnya tahun untuk kembali membina kejayaan yang tertunggak dua tahun akibat Covid-19, bukannya terus dengan sensasi dan kontroversi.
Anuar Zain, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Neelofa maupun Fazura adalah contoh selebriti yang bijak dalam mengendali kontroversi. Sikap professional mereka berada dalam tahap tertinggi. Seumpama kata Tok Ti, tak makan dek puji, tak mati dek keji, begitulah seharusnya kehidupan ini.
Untuk seorang lelaki bergelar Anuar Zain. Teruslah menjadi lelaki itu. Lelaki yang menjadi peneman resah, penghibur unggul dan lelak yang tersendiri. Anuar Zain tetap Anuar Zain.Noktah.
Â
Anwar Razali
Kuala Lumpur
31 Januari 2022
12;17.