VIRUS BULI ALL OF US ARE DEAD

ZOMBI menjadi pertaruhan terkini k-drama yang kini trending di Malaysia. All Of Us Are Dead meneruskan kejayaan filem Train To Busan dan genre sebegini. Teryata meskipun mengulangi konsep yang sama, namun hasilnya tidak mengecewakan. Masih mampu membuat emosi tidak stabil di sepanjang 12 episod siri tersebut.
Train to Busan memberi fokus kepada persekitaran keretapi, tetapi All Of Us Are Dead lebih besar konsepnya. Menjadikan kawasan persekolahan sebagai tempat segalanya bermula. Dengan misteri seorang cikgu Sains yang mencipta virus demi menyelamatkan anaknya yang menjadi mangsa buli.
 
Dari sinilah segalanya bermula. Pelbagai watak muncul menjadikan All Of Us Are Dead sebuah naskah yang menepati kehendak semasa. Mendebarkan namun penuh dengan nilai kekeluargaan, persahabatan dan prasangka.
 
Baik drama atau filem dari Korea sememangnya dibawakan dengan prestij dalam apa mediumpun. Meskipun saya menonton di Netflix, tetapi hasilnya tetap seperti menonton sebuah filem yang sarat dengan apa yang diperlukan untuk tontonan terkini. Ianya tidak membosankan, setiap watak memberi satu sama lain. Paling menariknya apabila watak utama adalah barisan pelakon remaja. Di sinilah kelebihan All Of Us Are Dead yang dekat dengan jiwa remaja dan alam persekolahan.
 
Terus terang saya katakan, emosi saya turun naik ketika menonton All Of Us Are Dead. Sukar untuk saya meneka siapa yang bakal terselamat, siapa yang akan menjadi mangsa. Inilah keistimewaan skrip drama ini yang memberikan tanda tanda kepada apa yang akan berlaku seterusnya.
 
Meskipun pengakhirannya seakan memberi petanda akan muncul musim kedua, saya berasakan ianya cukuplah sekadar satu musim sahaja. Mengulangi konsep zombi dan virus akan menjadikan karya sebegini tepu dan sukar untuk dikembangkan lagi. Tetapi saya pasti sebagaimana karya k-drama sebelum ini sentiasa menitikberatkan kualiti skrip, lakonan dan fotografi, saya tetap teruja setiap kali menonton karya terbaru dari Korea.
 
Menonton pembikinan belakang tabir, satu pekara yang saya sedari adalah betapa setiap aksi atau pergerakan zombi ada koreografinya sendiri. Mereka tidak membabi buta untuk mematah riuk badan dengan aksi yang tidak bersesuaian. Semuanya mengikut apa yang dirancang. Jika sudah begitu caranya, segalanya kelihatan begitu semulajadi dan mengagumkan. Pelakon utama maupun extra saling melengkapi antara satu sama lain.
 
Untuk All Of Us Are Dead saya beri empat bintang. Saya terhibur dan senang sekali dengan perjalanan ceritanya. Ternyata biar apapun genre yang mereka bawakan untuk tontonan kita, ianya kelihatan begitu bersungguh dan hampir sempurna.
May be an image of 4 people, people standing and text
 
 
 
Anwar Razali
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart