BULGASAL : SUMPAH CINTA DENDAM KERAMAT

KEPERCAYAAN kepada dilahirkan kembali adalah konsep penceritaan siri Bulgasal – Immortal Souls. Ianya berlandaskan cinta dan dendam keramat yang tersimpan semejak 1000 tahun lalu. Makanya setiap watak akan hidup berulang kembali dalam dimensi berbeza. Namun yang kekal hanyalah Bulgasal yang tidak mati kerana tiada roh. Dia akan terus hidup dan mencari mereka yang pernah disumpahnya.
 
16 episod telah sempurna ditayangkan di Netflix ini, akan membawa kita kepada sejarah dan kehidupan pelbagai generasi. Semua saling berkait. Kelahiran semula mereka berbeza. Namun persamaan mereka adalah mereka terpaksa menerima karma atas sumpahan Bulgasal.
 
Saya sebenarnya teruja amat dengan perjalanan cerita Bulgasal yang sarat dengan permainan emosi dan aksi. Lebih membanggakan adalah sinematografi siri ini begitu memukau sekali. Semuanya dipaparkan dengan penuh keindahan, sempurna dan sesuai dengan penceritaan. Inilah kelebihan siri Bulgasal yang menjurus kepada permainan emosi melalui sinematografi yang menceritakan segala rasa para pendukung wataknya.
 
Seperti biasa, soal cinta adalah titik penyelesaian kepada segala dendam kesumat beribu tahun itu. Namun perkara yang lebih menarik, cinta bukan hanya milik hero dan heroin, tetapi kecintaan pada ahli keluarga dan sanggup berkorban nyawa adalah nadi Bulgasal. Inilah tarikan utama yang amat membuatkan siapapun akan terusik dan mampu mengalirkan air mata.
 
Bulgasal: Immortal Souls didukung Lee Jin-wook, Kwon Nara, Lee Joon dan Gong Seung-yeon. Dan disutradarai oleh Jang Young-woo skrip oleh team suami dan isteri Kwon So-ra dan Seo Jae-won.
 
Saya beri empat bintang setengah untuk Bulgasal Immoratal Souls kerana ianya sebuah filem fantasi yang membuatkan saya terleka dan terbelenggu dengan perjalanan ceritanya. Jika sudah begitu, bagaimana pula ingin saya katakan sesuatu yang kurang enak tentang siri ini. Ianya pilihan saya untuk menjadi inspirasi dalam penulisan novel saya seterusnya. Betapa kuasa cinta melebihi segalanya. Percayalah.
.
.
Anwar Razali

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart