CINTA GOLEM

LOVE YOU AS THE WORLD ENDS – CINTA GOLEM
 
BERBANDING drama atau filem Korea, Love You As The World Ends berbeza sedikit pendekatannya dalam mengarap naskah zombie ini. Karya dari Jepun ini arahan Shintaro Sugawara dengan tajuk asal Kimi to Sekai ga Owaru Hi ni , diterajui Hibiki Mamiya (Ryoma Takeuchi) dan Kurumi Ogasawara (Ayami Nakajo). Zombie dalam cerita ini digelar Golem.
 
Apa yang saya katakan berbeza adalah bagaimana karya dari Jepun ini berlangsung dalam mood romantis meskipun persekitaran agak mencabar akibat serangan Golem. Sehinggakan ada satu tahap saya berasa sakit hati dan geram dengan watak Hibiki dan Kurumi serta pendukung watak yang lain kelihatan ‘blur’ ‘lembab’ dan kurang aktif berbanding naskah Korea yang kelihatan hiruk pikuk dengan serangan Golem atau Zombie itu. Seolahnya naskah Jepun ini begitu menitikberatkan mood romantik, emosi dan terlalu dramatik.
 
16 episod musim pertama dan kedua berlangsung, saya lantas memahami betapa pengarah sememangnya bertujuan begitu. Fokus pada perubahan emosi dan seiring dengan tuntutan persekitaran yang mencabar diadunkan untuk memberi warna warni dalam Love You As The World Ends. Dan hasilnya berjaya dan membuatkan saya ingin tahu siapa di sebalik semua perkara yang berlaku. Setiap watak ada misteri tersendiri.
 
Golem Jepun dan Zombie Korea berbeza dari segi aksi dan solekannya. Saya boleh katakan saya lebih seronok dengan kelasakkan zombie Korea berbanding Golem Jepun . Koregrapher Zombie Korea lebih menarik dan kemas serta ada fungsi. Golem Jepun kurang kemas, namun solekan dan kesan khas boleh dipuji terutama ketika kepala Golem ditusuk pisau dan besi. Nampak begitu realistik sekali.
 
Seperti mana cerita lainnya, soal percintaan, persahabatan dan kekeluargaan adalah intipati di sebalik segala kemelut. Semuanya diadun dengan baik tanpa membuatkan kita terganggu. Musim ketiga dikatakan dalam pembikinan. Nampaknya perjuangan Hibiki untuk mendapatkan cinta Kurumi akan berterusan pada musim ketiga. Terutamanya dengan agenda kelahiran anak mereka itu nanti apakah ianya akan dijangkiti. Plot Love You As The World Ends akan memberikan cerita lebih dramatik selepas ini.
 
Saya beri tiga bintang untuk Love You As The World Ends. Ianya sedang trending di Netflix.
.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart