SETIA SITI ; JANGAN KURUS

BIG STAGE : KESETIAAN SITI SARAH ; JANGAN KURUS.
 
SIAPAPUN pasti sebak ketika mendengar lagu Kesetiaan. Lagu tersebut begitu sinonim dengan allahyarham Siti Sarah. Dan apabila didendangkan dengan versi  Aisha Retno yang penuh emosi, ianya akan mengamit segala ingatan dan memori kepada sesiapa juga yang pernah kehilangan, kecewa dan merana.
 
Tok Ti sebak, seisi dewan sebak. Dan barangkali mereka yang di rumahpun begitu. Saya juga tidak terkecuali. Siti Sarah mengingatkan saya kepada sebuah kesetiaan pada agenda seni beliau juga. Betapa kegigihan beliau menempatkan nama sebagai artis handalan bukan sesuatu yang mudah. Sehingga sampai satu tahap ada yang menjadikan isu wajahnya sebagai mainan kerana dikatakan kurang cantik.
 
Inilah catatan saya untuk Big Stage konsert ke tiga. Seperti mana nasihat Ajai kepada Syafiq Abdilah agar jangan kurus, persoalan penampilan melebihi bakat sememangnya kita sering terkebelakang berbanding negara luar. Sehingga kini baik dunia lakonan, nyanyian, pengacaraan, model syarat yang biasa dikenakan perlu cantik,hensem, kurus, sado dan memiliki pula jutaan pengikut.
 
Setiap dari pada kita sebenarnya telah dicipta dengan segala kesempurnaan dan kecantikan tersendiri. Tanpa perlu dibandingkan dengan sesiapapun, kita sewajarnya lebih fokus kepada kebolehan dan bakat seseorang. Tak kisahlah bagaimana penampilan atau fizikal seseorang itu, jika dia sememangnya berbakat, sokong dan dorong sehingga ke tahap maksima. Jangan diskriminasi mereka hanya kerana kita merasakan mereka tidak menepati apa yang kita suka lihat dan ingin pandang.
 
Yang paling penting ‘kesetiaan’ kita pada impian yang kita ingin gapai. Sebagaimana sesebuah perhubungan, percintaan atau perkahwinan akan terus kekal jika ‘kesetiaan’ merajai, maka itu yang kita perlu tanamkan dalam apa juga pekara. Setia memiliki kuasa yang tidak terjangka. Setia tidak memilih rupa, status atau syarat. Setia adalah sihir utama untuk menyempurnakan impian dan segala apa yang kita lalui dalam kehidupan hari ini.
 
Saya sendiri pun tetap setia dengan jenama Stailista Glamz walau apapun cabaran, pujian atau kritikan. Bagi saya, orang lain boleh berkata apa sahaja. Selagi ‘Kesetiaan’ saya tidak pernah goyah dan berbelah bahagi, saya yakin saya mampu untuk terus setia sehingga akhir nanti, sekaligus menjulang kejayaan yang manis.
 
Justeru teruslah dengan ‘Kesetiaan’. Ianya tidak mudah. Tetapi tidak payah. Semuanya terpulang pada hati kita sendiri. Setia di mata, setia jugalah di hati. Al-Fatihah untuk Siti Sarah. 💝
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart