INVENTING ANNA – SCAMMER INSTAFAMOUS
BAYANGKAN bagaimana perasaan ditipu oleh seorang perempuan yang hanya berumur 25 tahun. Penipuan yang bukan calang-calang yang melibatkan pihak berwajib, selebriti, bank terkemuka, hotel mewah kerana seorang Anna Delvery.
Berinspirasi daripada kisah sebenar Anna Sorokin dan artikel di New York, How Anna Delvey Tricked New York’s Party People” ‘oleh Jessica Pressier, inilah ramuan sebenar siri yang sedang meletup di Netflix – Inventing Anna. Diterajui oleh Julia Garner sebagai Anna Delvey dan Anna Chlumsky sebagai Vivian Kent – wartawan yang membongkar segala penipuan Anna.
Menonton 9 episod Inventing Anna, perasaan saya bercampur baur. Kagum, teruja, geleng kepala, sedih dan pelbagai lagi perasaan melanda. Betapa hebatnya skil yang dimainkan oleh Anna sehingga ramai yang terpedaya. Sikap hati keringnya menjadikan segalanya begitu sempurna sehingga sampai satu tahap saya berasa simpati pula walhal penipuan yang dibuat bukan sesuatu yang biasa-biasa.
Antara yang membuatkan saya kagum bagaimana dia membina imej sebagai instafamous yang pakar dalam segala permainan dunia sosial dan selebriti. Sehingga sampai tahap dia boleh menempah pesawat peribadi tanpa perlu membayar sewa. Dan apabila ditanya dia dengan selamba mengatakan ada masalah dalam urusan bank pula. Langsung tidak nampak riak cuak atau kelam kabut, malahan orang lain pula yang dipersalahkan.
Kemuncak siri ini semakin menyeronokkan apabila isu pakaian untuk ke mahkamah menjadi keributan. Anna ingin kelihatan bergaya ketika hadir di mahkamah. Insiden ini mengingatkan saya kepada tugasan saya menghadiri sesi perbicaraan Mona Fendy di Temerloh dahulu. Mona Fandey cukup menitikberatkan soal penampilan ketika itu.
Penipuan atau scammer adalah trend terkini di mana-manapun. Anna ada matlamat dan visi tersendiri mengapa dia menipu. Itu soal lain. Yang saya sedari sendiri adalah bagaimana di Malaysia sendiri, kita melihat penipuan imej di kalangan selebriti, instafamous, ahli politik yang ingin memburu kuasa dan impian mereka juga berleluasa. Makanya pelbagai penipuan tercipta.
Kisah Inventing Anna sebenarnya tak jauh daripada kehidupan kita. Cuma yang membezakan adalah cara penipuan Anna Delvey dalam tahap tidak masuk akal. Level Kayangan.
Saya beri lima bintang untuk Inventing Anna yang naskhah yang cukup mengusik emosi saya. Setiap episod memberi fokus kepada setiap watak yang terlibat sehinggalah Anna dipenjarakan. Permainan plot cerita ini meskipun berkisar pada kisah benar dan ditambah sedikit fiksyennya cukup membuatkan kita akan melekat untuk terus ke episod akhir.
Manusia seperti Anna sentiasa ada dalam diri dan persekitaran kita. Hanya kita yang tahu bagaimana Anna yang baik atau buruk yang kita sedang pratikkan sebagai imej diri. 
