AJL SELEPAS 36 ; TOK TI MERIAH DI MANA?

AJL SELEPAS 36: TOK TI MERIAH DI MANA?
.
MEMBESAR dengan Anugerah Juara Lagu ( AJL), saya sentiasa melihat AJL adalah platform terbaik dalam memberikan prestij kepada karyawan seni. Setelah episod 36, namun timbul pertanyaan lain pula, apakah AJL masih relevan dan dianggap penanda aras seni negara?
.
Kebetulan dalam waktu yang sama Astro dengan Big Stage yang menampilkan tema Tribute To Tok Ti- This Is Siti Nurhaliza , sementara TV3 dengan Anugerah Juara Lagu 36 – Ini Rentak Kita. Dua dua program hiburan yang menjurus kepada penghormatan dan kejayaan untuk anak-anak seni. Dan sekiranya diberi pilihan antara keduanya, siapa keutamaan anda?
.
Saya memilih untuk menontonnya secara serentak untuk melihat perbandingan antara keduanya siapa yang lebih bijak dan komersil dalam merebut hati saya. Saya ingin memerhati dua media hebat di Malaysia ini bersaing secara sihat dalam memberi wadah hiburan untuk para penontonnya.
.
Saya tinggalkan kesimpulan saya tentang program mana yang lebih berprestij pada bahagian kedua di catatan yang berkaitan dengan Big Stage pula. Biarlah saya bercerita tentang AJL 36 tanpa prejudis.
.
Pilihan saya semenjak diumumkan senarai finalis adalah dengan memilih Pelukan Angkasa – SOG + Shila Amzah , Salahku – Yonny Boii dan AEWO – Shiha Zikir sebagai top 3. Sementara untuk vokal sudah pasti ianya antara Aina Abdul , Marsha dan Ernie Zakri . Itulah pilihan saya pada peringkat awal .
.
Namun mendengar susunan muzik baharu yang lebih segar dari maestro Tok Ram dan pasukan orkestranya, saya pasti akan ada perubahan sekiranya para finalis silap percaturan. Seperti kata ketua juri Dato’ Mokhzani dalam sidang akhbar selepas AJL36, beliau menyenaraikan lima lagu telah bersaing rapat untuk Top 5 . Ini bererti tempat ke empat adalah lagu Nafas Cinta – Khai Bahar dan Aina Abdul dan ke 5 – Yonny Boii untuk Salahku.
.
Saya telah meletakkan Pelukan Angkasa sebagai Juara memandangkan komposisi lagu yang berbeza dan unik seperti mana lagu Gila – Kaka Azraf pada AJL 35 lalu. Pemikiran para juri sememangnya sudah dijangka kerana mereka sentiasa mencari idea muzik baharu berbanding kebiasaan pada pemenang sebelum ini. Makanya kemenangan Pelukan Asmara adalah tepat pada agendanya.
.
Pun begitu, kerana susunan muzik yang lebih indah dan disempurnakan oleh nyanyian hebat Marsha ( Akademi Fantasia 3) maka Cinta karya pasangan suami isteri Akim Ahmad ( AF7) dan Stacy ( AF6) ini telah melompat ke tangga naib juara untuk meminggirkan kemaraan finalis lain. Ianya sememangnya layak kerana Cinta bukan sebuah lagu Balada biasa.
.
Mimpi dari Haqiem Rusli bagi saya masih mengulangi dan menggunakan skrip melodi yang sama seperti karya Haqiem sebelum ini. Berada di tangga ke tiga mungkin memadai untuknya, tetapi sekiranya Yonny Boii lebih ok dalam persembahan vokalnya dia lebih layak untuk berada di kelompok tiga teratas. Percayalah pada masa hadapan Yonny akan belajar untuk menjadi lebih baik dalam karya dan persembahannya.
.
Marsha menanti 16 tahun untuk ke pentas AJL. Noraniza Idris kembali membawa persembahan budaya selepas 17 tahun tidak ke AJL, kumpulan SOG juga bertuah kerana kolaborasi dengan Shila sehingga kumpulan indie ini diangkat sebagai karya utama AJL36. Pengalaman Shila dalam persembahan besar dalam dan luar negara banyak membantu kejayaan SOG.
.
AJL akan terus dinanti pada musim seterusnya sama ada relevan atau tidak, ianya bukan persoalan besar. Kita hanya ada AJL setelah Anugerah Industri Muzik ( AIM) hilang tanpa kubur. Justeru AJL perlu ada walaupun saya sebenarnya amat bosan bila penaja dua tu diulang terlalu kerap tentang kehebatan produk mereka pada setiap kali persembahan. Sehinggakan finalis pun diarahkan mempromosi tanpa hadnya. Mujurlah penaja tak naik pentas ye seperti penaja sebelum ini.☺️
.
Saya ingin tutup catatan sempena AJL 36 ini, bandingkan pembuka persembahan ( Mas Idayu, Dato’ Jamal dan Ayda Jebat )dan penutup AJL yang menampilkan Wings dengan persembahan Dato’ Siri Nurhaliza di Big Stage. Persembahan siapa lebih diingati dan memberi kesan komersil dan penghargaan terhebat? ✌️☺️😉🤔🎉
.
Anwar Razali

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart