MAT KILAU – ROH SYAMSUL YUSOF

MAT KILAU – ROH SYAMSUL YUSOF
.
… seperti kata Beto Khusairy tentang Syamsul Yusof , pengarah Gila . Saya juga ada ada istilah yang selayaknya untuk Syamsul . Gila, Genius Gempak.
.
Usai nonton Mat Kilau, Kebangkitan Pahlawan, saya senyum sendiri tentang idea kreatif dan lesen besar layar perak yang digarap oleh Syamsul Yusof. Dengan hanya menampilkan seorang tokoh bernama Mat Kilau sebagai inspirasi tentang kisah perjuangan mempertahankan negara, bangsa dan agama, pengarah pecah panggung ini telah meletakkan prestijnya lebih sepuluh langkah berbanding sutradara seangkatan di Malaysia. Dan barangkali tidak keterlaluan pemenang Pengarah Asia Pasifik ini sudah dalam kelompok sutradara antarabangsa.
.
Mat Kilau hanya tokoh utama untuk dijadikan tunjang cerita. Kerana asasnya tentang filem menentang penjajah, watak tokoh handalan negara dari negeri lain pun boleh saja dipilih. Sebab itulah wujudnya watak fiksyen Awang ( Fattah Amin) , Wahid ( Beto) , Yasin ( Johan As’ari) dan Toga (Yayan Ruhian). Watak mereka inilah yang mewarnai cerita Mat Kilau. Itu yang ada macam macam konflik tercipta. Semuanya demi mencantikkan perjalanan cerita. Sementara watak Mat Kilau ( Dato’ Ady Putra), Tok Gajah , Datuk Bahaman dan lain lain kekal dengan karisma sejarahnya. Resipi sebegini lah yang menjadi acuan para penerbit antarabangsa juga.
.
Sebab tu bila ada yang mengkritik tentang betapa banyak fakta tersasar dalam sejarah perjuangan Mat Kilau sehingga soal remeh temeh dipersoal, mereka terlupa agaknya. Ini bukan filem biografi Mat Kilau. Bukan filem sejarah sebenar . Ianya sekadar mengambil semangat perjuangan seorang tokoh negarawan dan diperindahkan dengan tuntutan komersil layar perak.
.
Melihat kegilaan Syamsul Yusof menguasai keseluruhan perjalanan cerita Mat Kilau, daripada lakon layar, olahan skrip , suntingan , jurukamera sekaligus sutradara, kita nampak sendiri betapa penglibatan Syamsul terhadap filem Mat Kilau . Mujur juga dia tidak berlakon. Hakikatnya setiap inci dan nafas filem Mat Kilau ini adalah dari roh Syamsul Yusof sendiri .
.
Kita tidak ramai pengarah yang genius seperti Syamsul Yusof. Dia kreatif dan dalam waktu yang sama peka tentang tuntutan komersil sesebuah filem untuk mencipta kutipan pecah panggung. Justeru berani saya katakan Mat Kilau akan mencipta fenomena terkini perfileman kita sekaligus penanda aras untuk filem epik selepas ini.
.
Saya tak bilang Mat Kilau sebuah filem yang sempurna. Tetapi dari roh Syamsul Yusof , Mat Kilau dijelmakan sebagai filem yang memenuhi tuntutan wajib untuk kejayaan sesebuah filem. Dari lakonan pelakon yang sesuai dengan wataknya, pertarungan yang kena pada tempatnya, suntingan yang laju serta skrip yang bernyawa.
.
Apabila bumi Pahang menjadi lokasi utama , Jerantut , Pulau Tawar, Sg. Tembeling, Temerloh dan Semantan tertera di layar perak, sebagai anak Pahang hati saya kembang seribu. Lebih buat saya bangga Mat Kilau adalah filem yang terselit misi dakwah dan kemelut bangsa Melayu hari ini. Meskipun terlalu banyak khutbah dalam filem ini tentang perjuangan agama dan bangsa yang diulang-ulang, saya maafkan sahaja. Seperti kata Syamsul Yusof itulah sebenar misinya. Jadi kerana Itu misinya , saya halalkan sahaja.
.
Mat Kilau akan terus berkilau dalam jangka yang panjang. Dan jika ada Mat Kilau 2 , saya mengharapkan apa jua kekurangan dan kritikan serta pandangan dari sesiapapun, Syamsul Yusof akan mengambil perhatian. Kita mahu Syamsul Yusof terus memberi roh yang terbaik untuk filem-filemnya selepas ini namun dalam waktu yang sama kita terus menyokong karya Malaysia yang sebenarnya jika diberi sokongan terutama dari pihak kerajaan , filem kita pergi jauh sebagaimana Korea menjadikan muzik, filem dan makanan mereka sebagai eksport dunia sekarang .
.
Malaysia Boleh. Syamsul Yusof pasti boleh. Mat Kilau pasti terus berkilau gemilang di persada dunia.
.
Anwar Razali
President Stailista-Glamz
Editor majalah Stailista
 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart