IMAGINUR – SOAL PELUANG DAN RUANG
.
Barangkali kerana saya juga seorang penulis, yang sarat dengan imaginasi, maka plot twist Imaginur tidak menjadi sesuatu kejutan sangat. Ianya sememangnya sudah dijangka , lebih lagi ianya karya Nik Amir Mustapha dan Redza Minhat .
.
Agenda ‘jiwa sakit’ dengan cerita duka kehilangan insan tersayang dan mencuba ingin menjadi
terbaik
daripada kisah silam lalu, adalah kesakitan yang akan memburu sehingga bila-bila. Rasa sesal, sepi, rindu, kaget, keliru dan segala emosi yang lara bukan sesuatu yang mudah untuk kita memujuk hati untuk berkata ‘move on’ sahaja. Memang tidak mudah.
.
Lalu Imaginur berlari atas wibawa pelakon
hebat
gred A nya; Beto Khusairy selaku Zuhal dan Diana Danielle untuk Nur adalah melambangkan kisah kita juga meskipun dalam cerita yang berbeza. Pokoknya keduanya mewakili segala perasaan yang terbelenggu dan ingin kembali menjadi Indah tanpa sebarang cela pun.
.
Inilah kehebatan skrip Imaginur yang membuat kita ‘keliru’ dan saling berteka teki akan mengapa dan kenapa semua itu berlaku. Setiap babak mengundang pertanyaan dan anggapan, ada yang terjawab, ada yang tersasar , ada yang di luar jangka dan ada yang boleh membuat kita terasa dekat dengan kisah Zuhal dan Nur itu.
.
Saya sendiri ada pengalaman melihat Abah saya menjaga emak yang terlantar sakit saraf berbelas tahun, kesabaran Abah sampai sekarang berjangkit dengan diri saya pula. Apatah lagi saya juga ada ‘kisah tersendiri ‘ yang sememangnya memerlukan kesabaran dan redha yang tinggi untuk menerima takdir saya ini. Ianya tidak mudah tetapi sebagai seorang Islam, saya perlu menerima TakdirNya dengan jiwa yang besar juga.
.
Barangkali jika anda ingin sebuah filem yang klise kisah cinta atau aksi sepak terajang atau ceramah terbuka seperti Mat Kilau, di Imaginur ianya bukan untuk anda. Imaginur adalah filem untuk anda turut sama bersama barisan pelakonnya ‘berlakon’ seiring dan merasai turun naik emosi setiap babak. Setiap dailog ada makna tersendiri, setiap lirikan mata, senyum tawa, tangis sengsara adalah tentang rasa yang tersembunyi yang menjerit untuk difahami.
.
Seminggu sudah Imaginur bergasak di pawagam, tentunya jumlah tayangan minggu kedua pasti tidak semeriah minggu pertama, pun begitu kepada yang belum menonton , mencubalah mencari diri sendiri dengan menontonnya. Anda akan temui sesuatu di dalam Imaginur. Selepas ini kita beremosi pula dengan filem Imam – lakonan Dato’ M.Nasir dan Faizal Hussien dari karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain arahan Mior Hashim Manaf . Ironinya Mior Hashim Manaf adalah ayah Zuhal dalam Imaginur.





.
.
.