SAJAK 17 TAHUN

Sajak ini sudah berusia 17 tahun rupanya. Ianya dicipta ketika kisah cinta Siti Nurhaliza heboh diperkatakan. Ianya saya tulis menggunakan nama pena saya Jebat Iskandar untuk dimuatkan sempena edisi khas majalah URS – Untuk Remaja Sahaja , perkahwinan Siti Nurhaliza dan Dato’ K. 💝
.
Insya-Allah sajak ini saya akan masukkan dalam novel puisi saya yang sedang saya siapkan sebagai tanda kenangan sepanjang kerjaya saya dalam dunia sastera dan kewartawanan. 💝
.
Bila Hatinya Dimiliki
( Epilog Untuk Siti)
.
Bila hatinya dimiliki
Oleh seseorang itu
Bukan seseorang ini
Atau seseorang bernama Aku
Maka remuk redamlah sukma
Merintih pedih berbaur rasa
Lalu tertanya-tanya
Mengapa dan kenapa
Seseorang itu dipilih
Bukan seseorang ini
Atau seseorang bernama Aku.
.
Bila hatinya dimiliki
Oleh seseorang itu
Bukan seseorang ini
Atau seseorang bernama Aku
Adakalanya kita terlacur kata
Menunding jari mencipta nista
Tanpa sedikit pun memberi rasa
Untuk memahami hatinya
Dan belajar memahami hakikat
Soal hati sukar dimengerti .
.
Bila hatinya dimiliki
Oleh seseorang itu
Bukan seseorang ini
Atau seseorang bernama Aku
Kita wajar berpaling pada takdir
Terima ketentuan Tuhan
Ajal, maut jodoh pertemuan
Bukan milik kita
Segalanya milikNya
Tidakkah kita sedari?
.
Bila hatinya dimiliki
Oleh seseorang itu
Bukan seseorang ini
Atau seseorang bernama Aku
Cubalah berlaku jujur
Kerana apapun pandangan pendirian
Terhadap seseorang itu
Biarkan saja, lupakan saja
Tapi berdoalah
Bila hatinya dimiliki
Oleh seseorang itu
Hatinya akan terus dimiliki
Sampai mati
.
Bila hati Siti dimiliki
Kita wajar merestuinya
Tanpa apa-apa cerita
Baik suka atau pun duka…
.
Jebat Iskandar
17 Julai 2006
Kuala Lumpur-
 
 
 
 
 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart